Tuesday, 9 July 2013

Lapangkan Hatimu Dengan Taubat

Satu cara untuk mengetahui sejauh mana kita benar-benar beriman ialah dengan mengukur sejauh mana kesan dosa terhadap hati kita?Apakah hati kita akan terasa kesal dan menyesal dengan dosa? Atau kita merasa biasa-biasa sahaja apabila berdosa?
Jika terasa menyesal, itu petanda Iman masih ada di dalam dada. Sebaliknya, jika dosa tidak memberi kesan apa, malah kita tetap gembira.. itu satu petanda buruk. Iman kita amat lemah, hati kita sedang sakit. Boleh jadi sudah menanti masa sahaja untuk melayang.
Apa tanda menyesal? Menyesal bukan menyesal jika kita hanya berasa sedih tanpa berbuat apa-apa. Tetapi menyesal yang sebenarnya apabila kita mula bertindak selaras dengan apa yang kita kesalkan.
Kita menyesal dengan dosa? Langkahnya, terus kita tempuhi jalan-jalan taubat dengan memberhentikannya, niat tidak akan mengulanginya lagi dan berbuat baik sebagai ‘galang-ganti’ kepada kejahatan yang kita lakukan itu.
Mari kita bertanya pada hati masing-masing? Bagaimana kita dengan dosa? Bagaimana kita dengan taubat?
384444_251661714890184_169516276438062_761233_1621754874_n
Pangkat di dunia tidak akan berguna selepas mati, sedangkan pangkat taqwa di sisi Allah bukan sahaja berguna di dunia – dengan jaminan pembelaan, kecukupan rezeki, diberi jalan keluar daripada sebarang masalah dan lain-lain, malah lebih berguna di Akhirat nanti – kehidupan yang hakiki dan abadi.
Rasulullah S.A.W bersabda :
“Malaikat Jibril datang kepadaku dan berkata : “Rugilah (kecewa) orang yang bila namamu disebut dia tidak mengucapkan selawat atasmu”. Aku mengucap : “Amin”. “Rugi orang yang berkesempatan hidup bersama kedua orang tuanya tetapi dia tidak sampai bisa masuk ke Syurga”. Aku berkata : “Amin”. Jibril berkata lagi : “Rugi orang yang berkesempatan hidup pada bulan Ramadhan, tetapi tidak sampai terampuni dosa-dosanya”. Lalu aku mengucapkan : “Amin”. [HR. Ahmad]
Hati siapa yang tidak tersentuh apabila mendengar hadis di atas? Betapa ruginya nanti kita di Akhirat sana. Dosa tidak diampunkan, masuk ke Neraka dan jauh daripada rahmat dan pengampunan Allah.

Menangislah Hari Ini

Menyesallah dahulu, kerana menyesal kemudian tidak berguna. Jika kita hendak menangis, maka menangislah pada hari ini… kerana menangis di Akhirat sudah terlambat dan tidak berguna.
Takutilah akibat dosa yang kita lakukan. Jangan ambil mudah dengan kemurkaan Allah. Jika marah isteri, suami, boss dan kawan-kawan pun sudah boleh menyebabkan hidup kita resah dan susah, apalagi murka Allah, Tuhan yang mencipta kita.
Ya, kita sering terlupa bencana akibat dosa boleh datang tiba-tiba.
Lupakah kita dengan kaum Aad yang ditimpa bencana tepat ketika mana mereka berarak ria menuju ‘syurga’ ciptaan raja mereka? Apakah kita lupa bagaimana sikap Rasulullah S.A.W ketika baginda dan para sahabat melalui lokasi tempat kaum Aad dan Tsamud menerima bala? Baginda terlalu terganggu oleh ‘nostalgia dosa’ – hinggakan sejarah mencatatkan bahawa Rasulullah S.A.W menyuruh para sahabat menundukkan muka dan jangan memandang ke langit (tanda merendahkan diri) ketika melalui tempat tersebut.
Rasulullah S.A.W pernah berdoa memohon agar Allah tidak menurunkan bala bencana ketika gerhana berlaku. Baginda akan sembahyang dengan penuh tawaduk dan baginda berdoa:
“Tuhanku! Tidakkah engkau telah berjanji untuk tidak mengazab mereka (umat Islam), dan aku berada bersama mereka. Tidakkah engkau telah berjanji untuk tidak mengazab mereka (umat Islam), sedangkan mereka adalah orang yang bertaubat. [Sulaiman bin al-Ash'ath, Sunan Abi Daud]
Itulah sikap yang ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W, seorang insan yang maksum daripada dosa dan dijamin masuk Syurga. Padahal baginda insan yang mulia, para penduduk kota Madinah ialah para sahabat Rasulullah yang terkenal sebagai generasi al-Quran dan kota Madinah itu sendiri adalah kota suci yang penuh rahmat dan keberkatan.

Jangan Rasa Selamat

Dengan segala kelebihan itupun baginda masih tidak terasa ada jaminan keselamatan daripada bala bencana. Sinisnya, bagaimana nasib kita yang setiap masa bergelumang dengan kemungkaran dan kemaksiatan, kadang-kadang hidup di tengah kota yang di kelilingi premis dosa?
Walau bagaimanapun, bencana alam, penyakit-penyakit kronik, gejala sosial dan lain-lain masalah sebenarnya boleh membawa rahmat jika kita dapat mencungkil ibrahnya yang tersirat.
la boleh diumpamakan sebagai racun kepada hati yang derhaka kepada Allah, tetapi penawar kepada hati yang tunduk dan patuh kepada Allah. Kata orang, “What happens ‘in’ you is more important than what happens ‘to’ you.” – apa yang berlaku ‘di dalam’ diri kita jauh lebih penting daripada apa yang berlaku kepada (‘di luar’) diri kita.
tumblr_m44iioNJgx1qf1tsro1_500

Menyingkap Lembaran Sejarah

Untuk memahami yang tersirat dan mencungkil hakikat daripada sesuatu peristiwa, kita perlu menyingkap lembaran sejarah. Bencana alam yang telah menimpa umat nabi-nabi terdahulu kerana kederhakaan dan kedegilan mereka walaupun telah diberi peringatan berkali-kali perlu diamat-amati.
Renungilah hakikat ini : Umat Nabi Nuh a.s yang tunduk kepada hasutan Syaitan, yang mana Syaitan itu diciptakan daripada api – Allah musnahkan mereka dengan mendatangkan banjir besar. Kaum Saba’ yang juga menyembah api, Allah musnahkan dengan banjir. Apabila api diagung-agungkan selalunya Allah datangkan air sebagai pemusnah.
Hukum ini terus berjalan sepanjang zaman. Apabila berlaku kemungkaran yang bermaharajalela di tengah umat manusia, Allah akan datangkan bala bencana sebagai azab yang memusnahkan mereka.
Inilah yang telah berlaku kepada umat Nabi Luth, yang ditelan bumi kerana mengamalkan homoseksual dan lesbian. Kaum Nabi Salleh kerana curang dalam perniagaan. Kaum Aad dan Tsamud yang ditimpa hujan batu kerana kederhakaannya.
‘Tentera Allah’ (air, angin, tanah) dihantar kepada para pendosa yang engkar walaupun telah diberi peringatan berulang kali oleh nabi masing-masing. Sepanjang sejarah, sudah lapan bangsa pada lapan zaman yang telah mendapat akibat buruk daripada Allah S.W.T kerana mendustakan rasul yang diutus kepada mereka. Kelapan-lapan kaum itu ialah:
  • Kaum Nabi Nuh
  • Ashabul Rass – mendustakan nabi mereka yang bernama Hanzalah. Mereka menyembah berhala.
  • Kaum Tsamud – kaum Nabi Salleh.
  • Kaum Aad – kaum Nabi Hud.
  • Firaun dan pengikutnya.
  • Kaum Nabi Luth.
  • Ashabul Aikah – kaum Nabi Syuaib.
  • Kaum Tubba’.
Untungnya, umat Nabi Muhammad mempunyai banyak kelebihan berkat kasih sayang Allah kepada Nabi-Nya – Muhammad S.A.W. Bencana tidak berlaku serta-merta kepada umat Nabi Muhammad sepertimana yang menimpa umat nabi-nabi terdahulu. Masih ada penangguhan dan diberi tempoh masa untuk memperbaiki diri.
Bencana alam seperti tsunami, gempa bumi, tanah runtuh, banjir, kemarau dan lain-lain (walaupun sudah hebat dan dahsyat) tetapi ini berkali-kali ganda lebih ringan berbanding bencana yang menimpa umat-umat terdahulu.
Apapun, mesejnya tetap sama – sebagai peringatan dan amaran. Dengarkanlah ‘bisikan’ Allah ini. Jangan sampai kita terpaksa mendengar ‘jeritan-Nya!’ (bencana yang lebih dahsyat).
Lihat sahaja loji-loji nuklear di Fusyima Jepun yang dilumpuhkan hanya dengan kuasa air. Bukankah ini satu tempelakan kepada kemajuan teknologi yang dibanggakan oleh manusia tetapi akhirnya tunduk kepada kuasa ‘konvensional’ yakni air?
Walau bagaimanapun, ada bencana yang lebih seni dan maknawi sifatnya. Tidak ketara oleh mata, tetapi sangat derita pada hati. Di dunia, dosa dapat membuat hati keras dan buta dari kebenaran. Ia akan menutup pintu hati dari melihat kebenaran dan membuatnya terbalik dalam membuat penilaian. Allah berfirman:
Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan, sehingga apabila mereka bergembira dengan apa yang telah diberikan, Kami seksa mereka secara mengejut, maka ketika itu mereka berputus asa.” (Surah al-An’am 6: 44)

Pendosa Tidak Tenteram Jiwanya

Manakala secara peribadi dosa akan menyebabkan hidup kita menjadi sempit, perasaan menjadi tidak keruan dan fikiran selalu kacau. Ada sahaja yang tidak kena walaupun kekadang kita sudah memiliki kekayaan, kesihatan dan pekerjaan. Firman Allah:
Dan barang siapa yang berpaling daripada peringatan-Ku maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit.” (Surah Thaha: 24)
Ibnu Khatir menjelaskan keadaan orang yang melakukan dosa dengan katanya:
Di dunia dia tidak akan mendapat ketenteraman dan ketenangan. Hatinya gelisah akibat kesesatannya. Meski pun lahiriahnya nampak begitu senang, mampu memakan apa sahaja makanan yang diingini, mampu tinggal di mana sahaja yang dia kehendaki, namun selama dia belum sampai kepada keyakinan dan petunjuk maka hatinya akan sentiasa gelisah, bingung, ragu dan masih terus ragu. Ini ialah kehidupan yang sempit.

Hati Yang Bercahaya

Hati orang soleh begitu lembut, sensitif, mudah menerima cahaya hidayah dan taufik. Sebaliknya, hati seorang pendosa menjadi gelap, tertutup, berkarat, keras, dan kerananya tidak dapat ditembusi cahaya kebenaran. Kita sering diingatkan bahawa apabila bencana menimpa jangan salahkan sesiapa, tetapi salahkanlah diri sendiri.
Perhatikanlah hari-hari yang kita lalui selepas Ramadhan nanti, apakah penuh pahala atau sebaliknya. Bagaimana kita di sini (di dunia), begitulah kita di sana (Akhirat) nanti. Siapa yang menyemai angin, pasti terpaksa menuai badai!

diambil daripada  www.iluvislam.com

Kenapa Aurat Wanita Lebih Banyak daripada Lelaki ??

Sebagaian wanita mengeluh kerana mereka perlu hidup sebagai seorang wanita, seperti yang kita lihat dialog di bawah. Mereka seolah-olah mempersoalkan ketentuan Allah SWT terhadap mereka. 
“Aduh, situ tutup, sini tutup. Susah la gini. Apasal laki-laki mudah saja. Tak pakai baju pun takpe. Perempuan auratnya lagi banyak.”
“Kenapa la kita para isteri ni nak keluar kena minta izin dari suami kita, padahal suami kita nak keluar kemana-mana pun tak bagitau kita takpe pulak.”
“Jika kita ikut faraid dalam hal pusaka, rugilah kita. Sebab bahagian harta pusaka perempuan lagi sedikit berbanding harta yang anak lelaki dapat. Kami mahu keadilan!”
“Kenapa Allah jadikan wanita mengandung dan rasa sakitnya nak melahirkan anak. Suami kita rileks saja? Masa buat anak carilah kita, masa nak beranak kita tanggung sendiri!”
“Islam kata kita perempuan wajib taat pada suami, tapi ada islam cakap suami perlu taat pada isterinya? Mana keadilan pada kaum hawa?”
“Bila nak cerai je, suami yang boleh jatuhkan talak. Kenapa isteri tak bolek ceraikan suaminya? Kenapa?”
“Wanita takleh nak beribadat macam lelaki, sebab bila kita ada haid dan nifas, takleh nak solat dan puasa. Ingat perempuan ni suka ke tak solat dan puasa?”
Dan kemudian datanglah pertubuhan dan organisasi yang membela kaum wanita, dan menuntut hak sama rata antara jantina, mengekploitasi fahaman wanita yang terjejas akidahnya dek kerana disogok pertanyaan.
Kaum lelaki pula cakap, “Ah, mujur aku ni lelaki!”
Tunggu..!
Istigfarlah pada wanita yang ada perasaan seperti di atas. Cuba renungi jawapan-jawapan di bawah.
“Cik adik, Islam lah yang mengangkat aurat wanita. Benda yang mahal harganya akan dijaga dan dibelai serta disimpan di tempat yang teraman dan terbaik. Awak ada emas dan permata, adakah awak nak letak terdedah ditepi laluan lalu lalang atau disimpan di rumah agar tiada siapa melihat perhiasan itu?
Ok, jika awak letakkan perhiasan tadi di kalangan orang, agaknya apa akan terjadi dengan barang perhiasan tadi? Lelaki, yang utama hanyalah bawah pusat ke lutut tapi awak?
Saya tidak dapat melihat kulit anda pun kecuali muka dan tangan! Awak tak mungkin akan terangsang nafsu tengok saya hanya berseluar pendek ke lutut? Jangankan saya, tapi tok imam akan tercabut serbannya jika tengok awak hanya pakai seluar pendek!”
“Ok, isteri perlu taat pada suami. Jadi, lelaki apa? Suami perlu wajib taat juga kepada ibunya tiga kali lebih utama dari ayahnya, walaupun dia sudah berkeluarga. Isteri tidak perlu lagi, taatnya hanya pada suami. Kenapa awak perlu taat pada suami? Kerana suami kalian lah yang menanggung dosa yang kalian lakukan!”
“Betul ke wanita menerima warisan pusaka lagi sedikit daripada lelaki? Tapi kan, harta itu memang hak untuk wanita itu dan dia berhak lakukan apa saja yang dia mahu.
Shh.. jangan kongsi dengan sape-sape walaupun suami. Tak kesian pada lelaki ke, dia perlu membahagikan harta pusaka itu kepada isteri dan anak-anaknya. Kalau isteri dia ramai, anak dia ramai, harta pulak secebis, tak merasa lah jawabnya!”
“Tahniah la sebab awak dapat mengandung dan melahirkan. Setiap kali awak begitu, wanita itu didoakan oleh sekalian makhluk dan malaikat! Beruntungnya awak! Andaikan awak meninggal pula masa beranak tu, percayalah… itu mati syahid dan ganjarannya syurga. Ya, syurga menanti awak! Sebab tu tak ramai orang wanita meninggal masa melahirkan, malah beranak 15 kali pun sihat sampai ke tua!”
“Akhirat nanti, saya dan lelaki lain di dunia ini akan diminta bertanggungjawab keatas empat jenis wanita. Siapa? Mereka ialah isteri saya, ibu saya, anak perempuan saya dan adik perempuan saya. Tahu maksudnya? Awak nanti di akhirat, awak akan dibantu oleh empat lelaki! Siapa mereka? Mereka ialah suami, ayah, adik atau abang malah anak lelaki awak!”
“Nak beribadat macam lelaki? Ingat mudah ke nak dapat syurga? Sedarlah, awak sebagai wanita boleh masuk sebarang pintu syurga yang awak sukai. Ya, dah la syurga, ada pilihan pula hanya dengan empat cara. Apa itu? Solat lima waktu, berpuasa bulan Ramadhan, menjaga kehormatan dan tahu apa satu lagi? Taat pada suami awak. Itu saja asasnya!”
“Saya, seorang lelaki wajib berjihad fisabilillah. Awak, seorang wanita jika taat akan suaminya, dan menunaikan tanggungjawab kepada Allah, maka awak akan turut menerima pahala setara seperti pahala orang pergi berjihad fisabilillah tanpa perlu mengangkat senjata!”
Allah SWT; sebagai Zat yang Maha Pencipta, yang menciptakan kita, maka sudah pasti Dia yang Maha Tahu pada manusia, sehingga segala hukum-Nya malah peraturan-Nya, tentulah yang terbaik bagi manusia dibandingkan dengan segala peraturan yang dicipta manusia.

dipetik daripada-www.iluvislam.com

Kesihatan Nikmat Yang Paling Berharga

Kesihatan merupakan aset yang penting dalam kehidupan seorang individu. Dalam Islam, kesihatan merupakan aspek utama yang perlu dititikberatkan. Dengan menjaga kesihatan, seseorang individu dapat melakukan ibadah dengan baik dan sempurna. Betapa pentingnya menjaga kesihatan terserlah apabila Rasulullah s.a.w menyebut dalam sebuah hadis :
“Permintaan yang paling disukai Allah daripada hamba-Nya ialah meminta dianugerahkan kesihatan yang sempurna.”
Bahkan Baginda sendiri mengajar umatnya supaya mengamalkan selawat syifa’.
Syariat Islam yang diturunkan oleh Allah amat menitikberatkan kesihatan manusia dari segi kesihatan mental, fizikal dan spiritual. Setiap sesuatu yang dihalalkan syariat sudah pasti dapat memanfaatkan manusia manakala setiap sesuatu yang diharamkan pula adalah disebabkan Allah mengetahui ia amat memudaratkan kesihatan manusia.
Pepatah yang menyebut ‘you are what you eat’ atau ‘anda ialah apa yang anda makan’ dapat dinilaikan bahawa penjagaan makan minum sangat penting untuk kesihatan manusia. Apabila seseorang individu itu mengetahui konsep penjagaan kesihatan, mereka akan dapat mengamalkan satu tabiat hidup yang telah diatur dengan baik.

Halalan Toyyiba

Islam menyeru umatnya supaya memilih makanan yang mempunyai dua kriteria iaitu halal (‘halalan’) dan baik (‘toyyiba’) atau berkhasiat. Makanan kita mestilah daripada sumber yang halal di samping berzat, berkhasiat dan baik yang sesuai dengan tubuh badan seseorang.
iluvislam, halal
Soal makan sangat penting kerana antara makanan dan keperibadian seseorang mempunyai pertalian yang amat kuat. Makanan yang baik dan halal akan menjamin akhlak yang baik, sebaliknya makanan daripada sumber yang haram akan menyebabkan lahirnya akhlak yang negatif.

Elak Obesiti

Setelah memilih makanan yang halal dan baik, Islam memberi panduan tentang adab makan pula iaitu bersederhana dalam makan. Ia menyeru umatnya supaya makan dan minum tetapi jangan berlebihan. Konsep berlebihan dalam pengambilan makanan ini telah diperakui oleh doktor bahawa makanan yang berlebihan boleh mengakibatkan obesiti atau gemuk.

40 Kali Kunyah

Rasulullah s.a.w juga mengajar umatnya dalam sunnah Baginda supaya mengunyah makanan yang kita makan sebanyak 40 kali kunyahan. Hal ini demikian supaya makanan yang kita kunyah akan hancur dan dapat diserap dengan baik untuk proses penghadaman. Di samping itu juga, amalan kunyahan makanan ini dapat mengehadkan kita daripada makan secara berlebihan.

Air Putih

Bagi minuman pula, air putih adalah sebaik-baik minuman yang perlu kita minum untuk kesihatan dalaman kita. Hal ini demikian kerana air putih dapat menyerap apa yang kita makan di samping membantu mempercepatkan proses penghadaman. Selain itu, air putih juga dapat membuang segala toksin dan kolesterol yang terdapat dalam badan kita.
iluvislam, air putih
Oleh itu, kita perlu minum air putih sekurang-kurangnya lapan hingga sepuluh gelas sehari. Pada awalnya, memang sukar untuk kita amalkan secara mendadak, akan tetapi apabila kita ‘istiqamah’ ataupun melakukan amalan ini secara berturut-turut, amalan ini akan menjadi kebiasaan demi kesihatan dalam jangka masa panjang.

Senaman

Demi menjamin kesihatan yang baik, Islam juga menyeru supaya kita memberi hak pada setiap anggota tubuh badan agar dapat mencegah daripada penyakit. Sesungguhnya mencegah itu lebih baik daripada mengubati. Dalam sehari, badan kita perlu dilatih dengan senaman supaya kita menjadi lebih sihat dan aktif bekerja. Pergerakan badan yang kerap amat penting bagi membantu sistem dalaman dalam badan kita dan juga menjana minda yang cerdas.

Rehat

Walau bagaimanapun, kita juga diberi hak untuk rehat misalnya tidur. Dalam Islam, tidur itu merupakan satu ibadah. Badan kita perlu berehat melalui tidur pada malam hari selama lapan jam sehari bagi membantu proses perkumuhan.

Kesihatan Rohani

Menjaga kesihatan dalam Islam bukanlah sekadar luaran sahaja tetapi makanan rohani juga harus dititikberatkan. Jiwa yang tidak disantap dengan pengisian ilmu yang berfaedah akan terasa seperti jiwa di dalam kekosongan. Ilmu yang berfaedah sangat penting supaya kita lebih berpengetahuan misalnya ilmu agama. Dengan mengetahui syariat Islam yang diturunkan, kita sebagai umat Islam dapat menilai baik buruk sesuatu perkara dan seterusnya dapat mengamalkan setiap perkara yang disyariatkan dengan baik dan sempurna di sisi Allah dan masyarakat sekeliling.

Nikmat Sihat Wajib Disyukuri

Nikmat kesihatan sangat penting dalam kehidupan seharian bagi seseorang individu. Namun, tidak kurang ramai juga yang terlibat dalam penyalahgunaan nikmat kesihatan. Nikmat sihat dikira salah guna jika di kala sihat manusia lupa beribadat. Dalam erti kata lain, dia leka dengan perkara lain yang menjauhkan dirinya daripada Allah sebaliknya apabila dia sakit atau ditarik nikmat sihat daripadanya barulah dia teringat hendak memperbanyakkan ibadahnya.
iluvislam
Sesungguhnya kesihatan adalah nikmat Allah yang paling berharga. Jadi, gunakanlah ia sebaik mungkin untuk mendekatkan diri kepada Allah kerana penyalahgunaan nikmat sihat di sisi Allah adalah sesuatu yang dilarang di dalam Islam.

Monday, 8 July 2013

Rindu Cinta Ramadhan

Menanti kehadiran Ramadhan umpama rindu dan kasih yang tak berkesudahan. Ia datang bertamu kembali pada mereka yang merinduinya.. menanti untuk menyayanginya.. menanti untuk berkasih dengannya.. menanti untuk bermadu mesra dengannya..
Kerna Cinta Ramadhan itu, tidak pernah luntur dan padam.. setianya kepada sekalian ummat, membuatkan hati ini terlalu rindu untuk kembali bertemu dengannya.. biar berkali jiwa Ramadhan di sakiti dan dicalari, ia tetap hadir dengan senyuman yang bersinar..
rindu-ramadhan
Cinta Ramadhan itu terlalu mendalam.. padamu Ramadhan, ada sesuatu cinta yang tersirat yang sukar untuk di ungkapkan.. Sampaikan salamku pada Ramadhan agar ia sentiasa mengingati, bahawa aku sentiasa menanti kehadirannya..

Oh Ramadhan,
kedatanganmu semakin hampir,
rinduku padamu semakin menggila,
kau bawa seribu kemuliaan tak terhitung jumlahnya,
kau tutupi seribu kemusnahan bencana dunia.

Kini ku sedar, aku harus bersiap siaga,
supaya kemuliaan yang kau bawa, tidak berlalu begitu saja,
Al quran, akan sentiasa ku bawa,
mathurat, tahajud, menjadi bekalan ku yang utama

Bebarapa hari lagi tersisa
bekalan akan ku persiapkan secukupnya
kerana Aku ingin menemuimu penuh cinta
cinta pada yang Maha Esa

diambil dari  http://www.iluvislam.com/